Monday, October 4, 2010
Best Movie Quotes
Wednesday, September 15, 2010
Mengapa Wanita Memerlukan Lelaki?
Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.
Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.
Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.
Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya.
Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.
Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.
Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.
Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.
Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita.
Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.
Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.
Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.
Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.
Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.
Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.
Semoga mereka tak tersalah pilih.
Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.
Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.
Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik..InsyaAllah...
dipetik dari www.iluvislam.com
Thursday, May 13, 2010
CINTA vs SUKA
Di hadapan orang yang kita cinta, hati kita akan berdegup kencang.
Tapi di depan orang yang kita suka, hati kita akan gembira.
Di depan orang yang kita cinta, musim sentiasa berbunga-bunga.
Di depan orang yang kita suka, musim itu cuma berangin sahaja.
Jikalau kita lihat di dalam mata orang yang kita cinta, kita akan kaku.
Jikalau kita melihat mata orang yang kita suka, kita akan tersenyum.
Di depan orang yang kita cinta, lidah kelu untuk berkata-kata.
Di depan orang yang kita suka, lidah bebas berkata apa sahaja.
Di depan orang yang kita cinta, kita menjadi malu.
Di depan orang yang kita suka, kita akan tunjukkan imej yang sebenar.
Kita tidak boleh merenung mata orang yang kita cinta.
Tapi kita selalu merenung mata orang yang kita suka.
Bila orang yang kita cinta menangis, kita akan turut menangis.
Bila orang yang kita suka menangis, kita akan membuat dia gembira.
Perasaan cinta bermula dari kata.
Perasaan suka bermula dari telinga.
Thursday, May 6, 2010
Mengapa Perlu Berkahwin?
2. Buat ape aku perlu berkahwin? aku dah ada kerjaya sendiri. Hidup aku lebih aman damai, tak perlu ribut tentang anak-anak. Aku enjoy dengan kehidupan sekarang nih.
3. Saya takutlah nak berkahwin, tak bersedia, nanti banyak sangat komitmen..
4. Mampukah saya menjadi isteri/suami yang baik?.. Berkahwin bukan untuk bercerai..
Mungkin kita pernah mendengar pernyataan di atas yang berbentuk luahan hati dan perasaan dari sahabat kita atau orang yang pernah merasakan kepahitan hidup akibat dari latarbelakang keluarga yang tidak harmoni. Bahkan juga dari mereka yang takut dan risau memberikan komitmen dalam perkahwinan.
Zaman ini, menunjukkan ramainya mereka yang bekerjaya profesional, hidup mewah tidak mahu berkahwin. Terutamanya apabila yang sudah mempunyai pendapatan tetap sendiri, dirasanya hidup tidak perlu kehadiran orang lelaki/perempuan..
Mengapa Perlu Berkahwin ?
Persoalan di atas adalah soal pokok terutamanya mereka yang akan berkahwin, 'bercouple', dan juga kepada mereka yang tidak mahu berkahwin samada takut, risau, serta alasan yang lain. (Kecuali mereka yang mempunyai penyakit yang boleh mendatangkan bahaya atau kecacatan kepada pasangan seperti HIV, AIDS, sopak dan kusta. Serta mereka yang mempunyai sikap yang jahat, tidak mahu/mampu memberi nafkah kepada isteri, mahu mendera dan membalas dendam ke atas isteri/suami).
Perkahwinan sebenarnya adalah untuk menyahut seruan fitrah manusia yang telah difitrahkan oleh ALlah. Manusia mempunyai keinginan dan kehendak terutamnya di dalam persoalan seksual. Islam telah menetapkan jalan di mana perkahwinan sahajalah yang menjadi penyelesai masalah bagi memenuhi tuntutan tersebut.
Dari Abi Samrah r.a menyatakan :
Nabi melarang daripada hidup membujang.
(Riwayat at Tirmidzi dalam kitab perkahwinan, bab meninggalkan perkahwinan).
Saad bin Abi Waqqas r.a berkata :
"RasuluLLah telah menolak permohonan Osman bin Maz'un untuk hidup membujang. Kalaulah RasuluLlah membenarkannya nescaya kami akan mengembiri.
(Riwayat Muslim dlam Kitab Nikah, bab sunat berkahwinan bagi sesiapa yang berkeinginan, nombor 1402).
Di zaman ini, lihatlah, terdapat antara kita yang mempunyai keinginan tetapi disalurkan di jalan yang dimurkai ALLah. Ada yang menolak perkahwinan tetapi mereka tidak dapat membendung keinginan serta menjauhkan diri dari fitnah terhadap lelaki dan wanita. Ia sendiri tidak dapat menjaga diri dari anasir yang tidak elok. Akhirnya ada yang telah menghampiri kepada zina serta menjerumuskan diri di dalamnya. Anak-anak luar nikah dikandungnya, ada yang dibunuh, dibuang, dan juga dibela.
Ada juga yang mengatakan ingin sahaja membela anak angkat. Sayangnya di dalam Islam, anak angkat tidak pula dibolehkan mewarisi hartanya. Di masa tua pula, ia tetap juga merasa kesepian dan kelainan disebabkan anak yang dibela sejak kecil tetap bukan anak dari darah dagingnya sendiri.
Perkahwinan untuk melahirkan keturunan yang soleh dan berkualiti
Sabda RasuluLLah s.a.w yang bererti :
"Kahwinilah perempuan yang pengasih dan mampu melahirkan ramai anak kerana aku berbangga dengan umatku yang ramai pada hari kiamat.
(Riwayat Abu Daud dalam sunannya : KItab nikah, bab larangan daripada menikahi perempuan yang tidak boleh melahirkan anak, nombor 2050; An Nasai dalam kitab nikah, bab makruh mengahwini perempuan mandul, nombor 65/6)
Dengan jalan yang halal ini, maka ia dapat membentuk institusi kekeluargaan sekaligus institusi masyarakat Islam yang dipenuhi dengan generasi yang berkualiti. Jauh bezanya dengan anak yang lahir dari perbuatan zina. Mereka adalah generasi yang terbuang yang tidak mengenali sama sekali siapakah ibu dan ayah mereka. Mereka lahir dalam keadaan jiwa yang membenci dan dendam kepada kedua orang tuanya, masyarakat sekeliling dan manusia keseluruhannya.
Jiwa tenang dengan jalan pernikahan
Perkahwinan yang halal akan menghasilkan ketenangan dan ketenteraman. Firman ALLah ta'ala yang bererti :
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki,) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir".
(Ar Rum :21)
Berapa ramai manusia yang menolak perkahwinan fikiran dan hatinya tidak berasa tenang, tiada teman untuk dikongsi masalah? Tidak dapat merasakan hubungan halal antara lelaki dan wanita melalui jalan perkahwinan? Fikiran sentiasa runsing dengan masalah-masalah yang tidak terluah yang mengegarkan jiwa dan fikiran, perasaannya tertekan, kemurungan lalu membawa kepada perasaan malu dan pesimis.
Perkahwinan meluaskan persaudaraaan dan membina prinsip kerjasama.
Sebelum perkahwinan - kita akan fikir untuk hidup buat diri sendiri sahaja. Kurang bertanggungjawab dan kematangan dalam pengurusan hidup. Solat bersendirian, berdoa, tawa dan tangis juga berseorangan.
Sebelum berkahwin - tidak banyak ilmu yang ditimba untuk menjadikan diri sebagai individu Muslim yang dapat menjalankan tugas sebagai khalifah yang lebih sempurna. Kita tidak kenal istilah suami dan isteri, ibu dan bapa serta anak. Tidak juga mengetahui apa itu munakahat yang menyentuh tentang bab kekeluargaan seperti talaq, khuluq, hadonah (hak penjagaan anak), aqiqah dan sebagainya. Maka dengan jalan perkahwinan menjadikan diri bersiap sedia dengan ilmu untuk menguruskan sebuah keluarga. Seorang suami sebagai imam solat dan pemimpin, isteri sebagai teman dan pendokong kepada suaminya di kala susah dan senang.
Isteri akan membantu suami di dalam urusan seharian, makan pakainya, tempat tinggal dan anak-anak. Suami pula akan bersama di dalam mencari rezeki yang halal, mempertahankan, melindungi dan memelihara kehormatan isteri.
Dengan jalan halal yang telah digariskan oleh Islam, daerah persaudaraan akan semakin meluas. Saling kenal mengenali antara sesama dua keluarga yang telah disatukan di atas jalan ini. Ia akan melahirkan suatu ikatan baru dan saling berkasih sayang antara satu dengan yang lain.
Carilah saluran yang halal, dengan jalan perkahwinan dapat menjamin kesejahteraan masyarakat, menyebarkan kebaikan, penjagaan akhlak serta pengekalan keturunan manusia.
"Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, ALLah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana ALlah amat luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi amat mengetahui".
(An Nur : 32)
* Penulis adalah Ustaz Mohd Zul bin Roslan. Beliau merupakan salah seorang moderator agama iLuvislam.com. Artikel ini diambil dari blognya: http://jomfaham.blogspot.com/
Friday, April 2, 2010
Apa ada pada cinta pandang pertama?
Bila disebut perkara berkenaan cinta, timbul banyak persefahaman asal-usul cinta itu sendiri. Cinta pandang pertama, cinta internet, cinta monyet, cinta sekolah, cinta padang pasir, cinta medik, cinta universiti, cinta itu cinta ini. Apa yang paling menarik perhatianku adalah cinta pandang pertama, memandangkan aku sendiri tak percaya pada cinta pandang pertama.
Dulu aku tiada keyakinan pada cinta internet, dan menganggap cinta internet itu sekadar cinta yang melalaikan dan kebanyakkan lebih ke arah penipuan. Tetapi kini, aku ditemukan dengan dua pegawai di pejabatku, yang mendirikan rumahtangga berasaskan pertemuan cinta internet. Maka dengan itu, aku mula membuka minda dengan menerima hakikat cinta internet itu boleh diterima logika selagi mana ianya tidak melanggar batas yang telah ditetapkan dan melalaikan kita dari mengingati Allah.
Berbalik pada persoalan, cinta pandang pertama. Apa yang ada pada cinta pandang pertama?
Adakah cinta pandang pertama itu benar?
Adakah cinta pandang pertama itu melalaikan?
MU or Chelsea?
Chelsea vs Manchester United
Tapi aku tetap mengatakan...Liverpool is the best.
Pedulikan apa orang nak kata!
Yang penting aku berjaya dan ada ilmu.
Tuesday, March 30, 2010
Sifat Malas...jauhkanlah!
Kenapa jadi malas?
Adakah aku bekerja hanya kerana bos aku ada?
Bukankah kita perlu bekerja kerana Allah?
Muhasabah diri seketika...update blog sejam...dan lantas aku kembali memulakan kerja walaupun perasaan malas semakin mengayuti diri.
Tetapi syukur alhamdulillah...perasaan rajin belajar kini menyelimuti diri dan perasaanku. Berjuanglah untuk berjaya....dan seterusnya menjejak kaki ke Notts.
Thursday, March 25, 2010
Selamat Hari Jadi Sahabatku
Sambutan harijadinya kali ini diadakan di Alamanda (tak ada tempat lain yang paling dekat nak celebrate), di Oldtown White Coffee. Fairuz terbayangkan Oldtown Mocha Blended, maka aku bersetuju untuk meraikan bersamanya di situ. Aku keluar office agak lambat, tambahan pula jammed teruk di KL dan aku tiba hampir ke pukul 7 di Alamanda. Fairuz sudah lama menantiku di situ (pejabatnya hanya terletak kira-kira dua km dari Alamanda). Kami berdua window shopping terlebih dahulu sebelum menunaikan solat magrib. Singgah sebentar ke sebuah kedai menjual beg tangan dan Fairuz terpikat dengan salah satu beg tangan yang terjual. Warna maroon, cantik rekaannya dan membuatkan aku terfikir untuk menghadiahkan beg tersebut padanya.
Selesai solat magrib, Fairuz keluar terlebih dahulu untuk menyimpan kain telekung dalam kereta, sementara aku mengambil kesempatan itu untuk melilau mencari hadiah harijadi. Hilang idea sebenarnya untuk mencari hadiah yang sesuai sebelum aku teringat yang Fairuz pernah menyatakan keinginan untuk membeli perfume Inspire. Lantas aku naik ke tingkat atas dan singgah ke booth yang menjual perfume berkenaan.
Memilih perfume juga mengambil masa yang agak lama. Aku harus akui, aku juga agak cerewet bab-bab minyak wangi. Setelah puas menguji bau, aku memilih minyak wangi dari Paris Hilton (kalau tak silap lah). Baunya agak manis seperti gula. Sedap.
Setelah selesai urusan jual beli, aku menapak ke Oldtown White Coffee. Fairuz sudah pun menanti, dan sudah pun memesan mee kari. Nampaknya dia agak lapar, kesian juga kerana terpaksa menungguku.
Sementara menunggu pesanan ku sampai, Fairuz membuka hadiah dan agak teruja melihat minyak wangi tersebut. "Bole la pakai dengan Irwan nanti," aku sempat mengusik.
Kami menghabiskan masa dua jam lebih, berbual mengenai kisah lama dan majlis perkahwinannya tempoh hari. Mendengar ceritanya, membuatkan aku tersenyum sendiri. Indah sungguh alam rumahtangga jika sentiasa berada di atas landasan-Nya.
Sedikit gambar semasa majlis sambutan harijadi secara kecil-kecilan itu.
Wednesday, March 10, 2010
Bulan Kesibukan
"Padat sepadat-padatnya"
huhu.....tapi itulah istilah paling tepat untuk mengambarkan suasana di ofisku ketika ini. Terkejar sana..terkejar sini. Menjerit dan melaung sesama sendiri menjadi satu kebiasaan pula padahal perkara itu adalah larangan sama sekali. Tetapi kesibukan ini menimbulkan kemeriahan luar biasa pada kami semua. Bos pun seperti dah biasa dengan perangai aneh ini, hinggakan 'tak kuasa' nak tegur kami semua. Lantak pi lah korang, asalkan kerja jalan.
Kesibukan melanda kerana beberapa perkara. Pertamanya, unit kami kini sedang usaha mendapatkan akreditasi MQA untuk program Diploma Eksekutif yang telah dijalankan selama hampir 6 tahun lamanya. Dateline untuk mendapatkan pengiktirafan ini adalah pada hujung bulan Mac ini, dan dateline untuk pembentangan pada TNC adalah pada 15 Mac. Dalam usaha mendapatkan pengiktirafan berkenaan, kami semua perlu bekerja 24 jam sehari dalam memastikan setiap kertas kerja, module outline, course outline dan sebagainya siap serta memenuhi keperluan MQA. Tidak boleh ada kesilapan walaupun kesilapan format seperti font sekalipun. Bengkel dan perbincangan diadakan hampir setiap minggu, dan minggu ini, bengkel dijalankan setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 7.00 petang. Agak menyeksakan, tambahan pula kami perlu menumpukan pada perkara kedua, yang juga agak menyakitkan minda dan perasaan kami, pembentangan markah untuk semester 1, sesi 2010/2011.
Dalam sibuk mengejar MQA, markah juga perlu disiapkan dan sakit kepala melanda. Tension ++...huhuuhu...mujurla tekanan agak kurang melanda biarpun kerja menimbun. Mujur juga bos tidak terlalu push kami semua walaupun kekadang sakit jiwa juga jadinya. Untuk seketika, aku merasakan seperti bekerja di jabatan swasta.
Kesibukan seperti ini mengingatkan aku pada konvo tahun lepas. Kami semua bersekang mata untuk persiapan konvo sehinggakan dua malam sebelum konvo, kami hanya tidur selama 2 jam sahaja. Keletihan tak boleh digambarkan dengan kata-kata. Bayangkan, siang hari berlari ke sana ke mari, dan malam pula berehat hanya dalam tempoh tak sampai 3 jam. Konvo tahun lepas juga paling menyakitkan kerana aku dilanda sakit tekak dan selesema sehingga hilang suara untuk menjerit nama graduan semasa tempoh susun atur graduan. huhuhu....
sekadar selingan....gambar anak pegawai program kami....dah besar dah....namanya Nur Aliqa Husna..comel seperti mama dan papanya jugak...
ni la dia masa baru beberapa minggu...
assignment aku pun tak siap lagi ni...huhuhu.....komitmen ngan kelas, ngan kerja, ngan pembentangan markah....
cute yang amatz...huhuuuu
Monday, March 8, 2010
Kelas Pertama untuk Semester Kedua
Pagi itu, aku bangun awal, semangat untuk ke kelas agak membara. Kelas bermula pada pukul 8.30, tetapi 8.30 jugalah aku baru keluar rumah. Menumpang bos kan, so kita sebagai penumpang, kenalah ikut time pemandu. Sudahlah lambat, kami sesat jalan pula. Masuk jalan yang tak pernah aku lalui sebelum ini, hingga membuatkan aku sudah mula berpeluh seluruh badan. Kelas pertama hari ini, Khidmat Masyarakat tetapi aku sudahpun terlambat hampir 45 minit!
Sesampainya di DK2, aku terkocoh-kocoh masuk, dan sebaik menolak pintu, Shamsul a.k.a Sam yang duduk hampir dengan pintu bersuara kuat, "Safa Marwah!" (sengal pakcik neh)
Pelik bila kelas hingar-bingar dan membuatkan aku terpinga sebentar. Rupanya lecturer tak datang lagi! Kiranya aku terselamat la ni. Setelah mendapat tempat di sebelah Syafikah, kami mula bertukar cerita. Sebulan lebih tidak bertemu, berbagai kisah aku terima. Zahir dan Hafizi berhenti pengajian, berita yang paling tak disangka. Kenapa harus berhenti sedangkan pointer cantik? Setelah mendengar alasan mereka berdua, aku diam sejenak. Perlu ke untuk berhenti kerana alasan sebegitu?
Hampir 15 minit kemudian, classmate aku mula mengemas barang dan keluar meninggalkan kelas. Bebudak kelas aku ni kira baik sebab rela menunggu lecturer untuk sejam sedangkan dulu, semasa aku bergelar pelajar diploma, tempoh masa menunggu lecturer hanya 15 minit. Kadang-kadang tak sampai 15 minit, kami semua sudah meninggalkan kelas. Berhemah la pelajar-pelajar degree ni dari pelajar diploma. Hehehehehehe....
Berbalik pada UKM, kami semua berkumpul di luar bilik kuliah dan berbincang tempat sarapan. Aku dan Wawa mula bising, bimbang jika pelajar-pelajar lelaki memilih kedai mamak. Kami berdua nyata agak fobia dengan kedai mamak. Heheheheh..
Setelah menentukan tempat makan berdekatan dengan Shell Bangi, kami bertiga (aku, Wawa dan Syafikah) menaiki kereta Syafikah, mengekori kereta Sam. Memecut ala-ala nak merempit, tetapi aku terkejut bila mendapati destinasi pilihan Sam and the gang adalah kedai mamak berdekatan McD Bangi. HUwaaaaaaaaa...makan mamak juga la jawabnya.
Berkumpul beramai-ramai begini adalah rutin untuk kami pelajar kelas BBA hujung minggu. Bila dah berkumpul, macam-macam cerita keluar, dari soal kerja sehinggalah ke kisah toyol. hahahah....pun begitu, aku tetap merasa sedikit kehilangan. Hafizi dan Zahir tiada dalam linkungan kami. Zahir walaupun agak kebudakan (sori la bro..heheh) tetapi usikan dia tetap mengamatkan suasana. Hafizi yang suka memberi pendapat dan meminati seseorang dalam kelas kami (ehemmmmm). Rasa tak lengkap kumpulan kami tanpa mereka berdua. Teringat kenangan semasa semester satu yang lalu. Bermain boling dan berkaraoke. Guys...korang dua memang tak nak kembali dah ke kelas kami??
Kenangan selepas berkaraoke pada Januari lepas.
Nak selit gambar zahir dan skandal UKMnya, Syafikah. Heheheheheh...jangan marah ye Syafikah. :P
Friday, March 5, 2010
Posting Pertama
Sekian lama meninggalkan alam penulisan blog, hampir dua tahun lamanya, kini aku kembali menghidupkan semula blog ini. Salah satu tujuannya, menyemarakkan kembali semangat penulisan yang telah terpendam selama hampir 8 tahun. Rindu rasanya untuk menulis semula dan kerana itu, blog ini wujud, untuk merakamkan semua cerpen lama yang telah disimpan bertahun lamanya. Semoga semangat penulisan ini kembali mekar mewarnai dunia blogger ini.